BEIJING: Seorang wanita China telah menjadi individu pertama yang maut akibat sejenis selesema burung yang jarang ditemui pada manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun mengesahkan mutasi virus itu didapati tidak merebak antara manusia.

Wanita berusia 56 tahun dari wilayah selatan Guangdong itu adalah individu ketiga yang diketahui dijangkiti virus selesema burung H3N8.

Kesemua kes itu berlaku di China dengan dua kes pertama dilaporkan tahun lepas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Wilayah Guangdong melaporkan jangkitan ketiga lewat bulan lalu tetapi tidak memberikan butiran kematian wanita itu.

Menurut WHO, pesakit itu mempunyai pelbagai kondisi asas dan sejarah pendedahan kepada ayam hidup.

Jangkitan sporadik pada individu yang menghidap selesema burung adalah perkara biasa di China dengan virus selesema burung sentiasa beredar dalam populasi besar ayam dan burung liar.

WHO berkata, sampel yang dikumpul dari pasar basah yang dilawati wanita itu sebelum dia jatuh sakit adalah positif influenza A(H3).

Walaupun jarang berlaku pada manusia, H3N8 biasa ditemui pada burung di mana ia menyebabkan sedikit atau tiada tanda penyakit malah ia juga telah menjangkiti mamalia lain.

Jelas WHO, tiada kes lain ditemui dalam kalangan kenalan rapat wanita yang dijangkiti itu.

WHO memberitahu, berdasarkan maklumat yang ada, virus itu tidak mempunyai keupayaan untuk merebak dengan mudah dari manusia ke manusia.

Sehubungan itu, risiko ia merebak dalam kalangan manusia di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dianggap rendah.

Pemantauan semua virus selesema burung dianggap penting memandangkan keupayaan ia berkembang dan menyebabkan wabak.